Ahad, 20 April 2014

MISTERI BUDAK HITAM

KEBUN seluas 6 ekar milik Kak Gayah dan suaminya, Abang Baha terletak bersempadan dengan sebatang sungai yang penuh dengan lata dan jeram. Untuk sampai ke sungai tersebut, seseorang perlu menuruni jurang yang penuh belukar sedalam hampir 30 meter. Walaupun terdapat lorong, keadaannya yang curam dan lantai hutan yang berlumut menyebabkannya agak sukar untuk dituruni.

Sungai tersebut pula mengalir dari arah pergunungan dan menganjur ke hilir melalui kampung mereka sebelum bertembung dengan Sungai Perak, berpuluh-puluh kilometer dari situ. Di dalamnya kaya dengan hidupan terutamanya ikan air tawar.

Ketika hari cuti, anak-anak kampung menjadikan sungai tersebut sebagai lokasi aktiviti memanah ikan. Mereka akan menyelam melawan arus sambil bergerak-gerak di celah-celah batu dan bangkar. Di situ menjadi tempat persembunyian sebarau, tengas, rung, selimang, baung, bagoh, sia, tebal sisik dan berpuluh-puluh jenis ikan lagi.

Mereka melakukan aktiviti memanah secara berkumpulan. Mulai dari kampung, mereka mudik ke hulu sehingga kecut kaki tangan' (sejuk) dan naik ke darat di kawasan kebun Kak Gayah. Selalunya mereka tidak balik dengan tangan kosong kecuali jika air keruh akibat hujan di hulu.

Pemandangan dari kebun Kak Gayah ke arah sungai tersebut memang menarik. Jelas dapat dilihat lata dan kilauan air jernih yang mengalir diiringi deruan yang tidak putus-putus. Di tebing sebelah sana ialah hutan dan bukit bakau yang hijau dan membiru di kejauhan.

Di sebalik kecantikan panorama itu, Kak Gayah bersama tiga rakannya sedang sibuk menanam benih jagung. Dua yang lain pula menancap kayu runcing ke permukaan tanah sambil berjalan beriringan untuk membuat lubang. Suami Kak Gayah, Abang Baha pula sedang sibuk mengumpul potongan-potongan kayu dan tunggul getah untuk diperun, agak jauh dari mereka.

Oleh kerana asyik dengan kerja-kerja mereka, tidak sedar hari telah hampir maghrib. Tiba-tiba Cik Keah yang telinga lintah', berhenti dan meletakkan jari ke mulutnya menyuruh rakan-rakan yang lain diam.

Jelas kedengaran dari arah sungai seperti bunyi jeritan dan tawa riang kanak-kanak seperti sedang bermain. Bunyi tersebut tenggelam timbul oleh bunyi deruan air. Dari bunyi yang didengari, dianggarkan lebih dari sepuluh orang kanak-kanak berada di bawah sana.

Ala, budak-budak memanahkan ikan, kata Kak Tipah.

Anak siapa pula yang memanah ikan senja-senja ni? tanya Kak Gayah ragu-ragu.

Jom tengok. Entah-entah anak aku pun ada! Kau bukan tak tahu di Malik tu! kata Kak Leha pula.

Keempat-empat mereka segera menuju ke tepi jurang. Jauh di bawah sana kelihatan berpuluh-puluh kanak-kanak seperti sedang mandi-manda dan bersukaria sehingga air menjadi keruh.

Macam anak Indialah. Dari mana pulak datangnya? tanya Kak Leha.

Kampung kita mana ada orang India. Kalau rombongan dari bandar, mana pulak basnya? balas Kak Gayah.

Eh! Kamu semua tengok elok-elok. Betul ke apa yang kita nampak ni? tiba-tiba Cik Peah bersuara.

Keempat-empat sahabat tersebut berdiri berhimpit-himpitan sambil memerhati dengan mulut ternganga.

Ni hantu ke orang ni? kata Cik Peah dengan suara tertahan-tahan.

Masing-masing mula rasa berdebar. Antara percaya dengan tidak apa yang mereka saksikan. Nun di bawah sana tidak kurang dari dua puluh orang budak hitam' seperti sedang bersuka ria menangkap ikan. Ada yang sedang melahap ikan tersebut mentah-mentah. Mereka menjerit-jerit sesama sendiri sambil mengeluarkan bunyi aneh, seolah-olah sedang berkomunikasi.

Keempat-empat sahabat mula merasa seram sejuk bercampur takjub. Rupa budak-budak hitam' tersebut semuanya sama sahaja. Tinggi mereka lebih kurang budak berusia 4-5 tahun. Semuanya telanjang bulat, berkulit hitam legam, berkepala botak dan berpunggung tonggek. Dari jarak yang agak jauh itu, mereka tidak dapat melihat dengan jelas rupa 'budak-budak hitam' tersebut.

Aku pasti ini bukan manusia! Tapi apa hah? soal Cik Peah secara berbisik.

Hantu toyol kot, kata Kak Tipah pula.

Hantu toyol tak ramai macam ni. Dia selalunya berkepit dengan tuannya, ujar Kak Leha.

Korang tunggu kejap, aku nak panggil Abang Baha, bisik Kak Gayah sambil beredar perlahan-lahan. Budak-budak hitam' yang berada di sungai tersebut seperti tidak sedar mereka sedang diperhatikan.

Tidak lama kemudian Kak Gayah kembali bersama suaminya, Abang Baha. Masya-Allah. Makhluk apa ni? bisik Abang Baha. Dia kemudiannya berjalan ke hadapan iaitu ke pinggir jurang untuk melihat dengan lebih jelas. Ketika itu salah seorang 'budak hitam' tersebut menjerit nyaring sambil mengangkat kedua tangannya ke arah tempat Abang Baha berdiri. Mungkin dia baru sedar yang mereka sedang diperhatikan.

Serentak itu, semua 'budak-budak hitam' lain terdiam dan terkaku seperti patung. Semuanya memandang ke arah Abang Baha dan yang lain-lain berada. Setelah beberapa saat tanpa suara, mereka lari bertaburan ke arah tebing sungai seberang sana, kemudian lesap ke dalam hutan berhampiran. Suasana hingar-bingar serta merta lenyap. Hanya kedengaran deruan air yang beransur-ansur kembali jernih.

Dah hilang dah. Elok kita beransur dulu, kata Abang Baha mengejutkan isterinya dan tiga sahabatnya yang masih terlopong itu. Hari sudah redup benar. Mungkin sudah masuk maghrib. Tanpa bicara, mereka segera mengemaskan bekalan dan peralatan dan terus pulang.

Kisah penemuan mereka kemudiannya tersebar seluruh kampung. Ada yang percaya dan ada juga yang tidak. Ada juga orang kampung yang menunggu di tepi jurang kebun Kak Gayah hingga maghrib untuk menyaksikan sendiri 'budak-budak hitam' seperti yang diceritakan. Tetapi ternyata, 'budak-budak hitam' itu tidak lagi berani memanah ikan di sungai itu. Cuma apabila air sungai keruh, orang kampung akan berkata dengan nada gurauan; Orang kenit menangkap ikan!

Kewujudan dan kehadiran makhluk tersebut di sungai berhampiran kebun Kak Gayah tetap menjadi misteri. Ada yang berpendapat bahawa makhluk tersebut ialah jin. Abang Baha, Kak Gayah dan tiga sahabatnya masih melakukan kerja-kerja seperti biasa. Mereka kini berhati-hati dan tidak lagi lalai hingga terlupa hari telah senja dan hampir masuk waktu solat maghrib.

Petikan: Bacaria


Lagi Kisah Seram: Ghost Stories Club  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan