Isnin, 21 April 2014

Rumah Wasiat (Kisah Seram)

Photo: Kak Pon Di Halaman... (Kisah Seram) | Saya ingin menceritakan kisah seram yang saya alami di rumah pakcik suami saya. Saya seorang Mualaf dan baru berkahwin dengan suami yang berasal dari Perak empat tahun lalu. Begini kisahnya...

Sebulan yang lalu saya dan suami serta kedua orang mentua pulang ke Perak menetap di rumah pakcik saudara suami saya di kampung. Saya ini terbiasa dengan keadaan kampung di Singapura dan sudah terbiasa bagi saya tidur di dalam suasana kampung. Rumah yang kami tuju ini memang dipenuhi dengan pokok-pokok besar di sebelah kiri dan kanan perjalanan dan pokok-pokok getah. Bayangkan, nak masuk lorong ke rumah pakcik Sulaiman (bukan nama sebenar) amat sukar, sempit sangat dan gelap-gelita.


Saya duduk di sebelah kiri suami dan kebetulan kami ada pasang kalis matahari seperti langsir hitam di dalam kereta, jadi saya tutup sebab takut sangat nak pandang ke sebelah kiri. Maklumlah masa perjalanan jam 10 lebih malam. Dalam perjalanan selama empat puluh lima minit baru sampai di rumah pakcik Sulaiman. Bila sampai suami pun kejutkan saya sebab terlena sebentar. Saya pun menolong ibu mentua mengangkat barang-barang ke atas rumah bersama suami. Ayah dan ibu mentua naik dahulu mengetuk pintu rumah pakcik Sulaiman.

Dalam kesibukan mengalih barang-barang dan bagasi baju bersama suami, saya sempat tertoleh di hujung halaman rumah pakcik Sulaiman. Untuk pengetahuan pendengar, halaman pakcik Sulaiman besar dan mempunyai sebuah garaj dan rumahnya rumah panggung besar sekali. Jadi bila tertoleh di sebelah kanan paling hujung ada pokok manggis, saya terlihat seperti ada kain putih sedang tersidai, ingatkan nak tolong angkat kerana hari pun mendung, takut pula isteri pakcik Sulaiman terlupa. Setapak menuju ke pokok manggis itu, terperanjat saya dibuatnya apabila tiba-tiba kain itu lesap, dan terbang ke atas. Saya tergamam, dan suami terus tarik tangan saya. Mungkin juga suami tahu, tetapi suruh saya tutup mulut. "Kalau awak rasa tak sedap, awak naik dulu, biar saya yang pindahkan barang-barang dan bagasi baju ni..."

Saya ni taklah percaya sangat hal karut tetapi saya hanya buat andaian saja. Bila suami suruh naik, saya naik. Setelah memindahkan semua barang ke dalam kamar masing-masing, pakcik dan isterinya pun menjemput kami minum air dan makan jemput-jemput yang telah disediakan. Setengah jam duduk berbual dan bersembang, suami pula nak mandi, ayah mentua pula ke bilik tamu untuk bersembang dengan anak-anak saudaranya yang kebetulan sedang khusyuk menonton televisyen hingga tak perasan ada tetamu. Ibu mentua pula turun ke dapur untuk berikan oleh-oleh jamuan dari Singapura. Saya tiba-tiba nak turun ke kereta suami kerana terlupa nak ambil beg mengandungi baju upahan makcik, jadi nak tunggu lama sangat suami mandi, saya pun ambil kunci kereta dari atas meja solek, terus turun ke bawah.

Cari punya cari beg saya, rupanya saya terlupa, ia berada di tempat duduk paling belakang, maklum kereta MPV. Jadi bila saya sedang mencapai beg saya itu, terdengar ada suara memanggil saya, "Bibah... Bibah..." berkali kali, suara halus dari belakang. Ingatkan makcik panggil, saya pun menyahut. Tiba-tiba angin kencang, hujan pun turun dengan renyai. Saya bergegas tutup pintu dan menuju ke tangga, kaki ni pula seakan tak mahu saya naik tangga, baru dari anak tangga. Mata ni asyik nak pandang ke kanan saja, nak tak nak, saya terpandang juga di hujung halaman ke arah pokok besar, tak tahu pokok apa tetapi bukan dari rumah pakcik tetapi rumah jiran sebelah. Ada kain putih macam terlompat-lompat.

Saya ni manalah tahu benda apa, saya ingatkan lucu jadi saya pun tertawakan. Tiba-tiba bila saya nak angkat beg tertoleh pula ke arah reban pakcik. Di sebelahnya ada tong kosong diterbalikkan, terduduk dan terpekik saya dibuatnya, kerana ada seorang wanita berbaju putih kotor sangat, berrambut panjang dan mukanya tertunduk ke bawah, sambil menggeleng-geleng kepala ke kiri dan kanan. Makcik mungkin dah dapat rasakan apa yang terjadi pada saya terus, entah dari mana, dia angkat beg saya dan terus tarik saya naik. Pakcik dan ayah mentua azankan. Bila suami dengar, dia keluar bergegas lalu menenangkan saya yang ketika itu sedang panik, mengeletar dan keadaan tak tentu arah.

Bila saya ceritakan, kata pakcik, "Memang kawasan rumah pakcik dari rumah pertama jiran Hajjah Rogayah hingga ke parit hujung sekali tu agak keras. Adalah kisah seorang ni yang pelihara benda dan dah pun lama meninggal dunia, tak ada sesiapa pun nak mengambil alih menjaga benda tu termasuk ke lima-lima orang anaknya. Sekarang benda ni berleluasa, dah bermacam orang kami minta tolong, tak berhasil juga. Sekarang masih dalam proses menghalau benda ni..." Ibu mentua dengar, baik-baik nak tidur di bilik dapur terus tak jadi, nak tidur dengan saya, dan suami tidur dengan ayah mentua dan pakcik.

Baik-baik nak menetap hingga dua minggu akhirnya kami ambil keputusan unutuk menetap di hotel berbekalkan tangkal yang diberikan pakcik suami. Saya insaf sebab saya ketawakan benda tu. Sebenarnya saya pun tak tahu apakah benda itu, dia lompat-lompat, diikat kepalanya macam bantal guling. Tetapi yang saya takutkan sekali, Cik Pon yang bertenggek di atas tong kosong. Hingga saat ini masih terbayang-bayang benda-benda itu semua hingga nak ke tandas, malah nak ke dapur malam-malam nak minum pun takut sangat-sangat...

-admin iza-

Misteri Sebuah Rumah Wasiat (Kisah Seram) 

Nama saya Arm. Berasal dari JB. Di sini saya ingin berkongsi cerita seram dan misteri yang pernah saya alami suatu ketika dahulu... Kisahnya bermula pada dua tahun yang lepas...

Pada Jun 2012, saya telah pulang ke kampung di Negeri Sembilan kerana ada kenduri doa selamat untuk keluarga saya. Selepas kenduri selesai pada malam itu, saya dengan sepupu telah duduk berehat di pangkin di anjung rumah. Semasa duduk dan berborak, saya ada terdengar satu suara seperti orang sedang menangis di rumah kosong di bawah. Jarak antara rumah nenek saya dan rumah kosong sekitar 50 meter di bawah bukit. Pada masa yang sama juga saya ada ternampak kelibat satu bayang yang pergi ke rumah itu. Hati saya terdetik untuk pergi menyiasat siapa yang telah pergi ke rumah itu dan suara siapa yang menangis.


Tanpa berlengah saya dan sepupu saya terus pergi ke rumah kosong berkenaan. Semasa hampir dengan rumah itu saya terdengar tangisan tu semakin kuat, tetapi setelah sampai suara tangisan itu terus berhenti. Pada masa itu saya rasa macam ada seseorang sedang memerhatikan saya. Tapi saya tak endahkan sebab saya jenis tak percaya pada hantu, saya cuma nak siasat kalau ade orang membuat jenayah di rumah kosong berkenaan. Saya telah menyelinap masuk ikut pintu belakang dan sepupu saya telah panjat ikut tingkap dapur. Tiba2 saya terdengar benda jatuh dari atas bumbung. Saya pun terus melihat ke atas dan mendapati ada lembaga putih bermata merah saga dan berambut panjang mencecah lantai sedang duduk bertenggek di kayu penahan siling rumah tersebut sambil menangis dan kemudian bertukar mengilai dengan sekuatnya.

Pada masa itu saya tidak mampu melakukan apa2, kaki saya kaku di situ dan hanya mampu melihat kemerahan mata dan juga rambutnya yang panjang mengurai. Pada masa yang sama sepupu saya telah membaling kayu pada makhluk tersebut dan makhluk tersebut menjerit dan terus terbang menghilangkan diri. Pada masa itu baru saya dapat bercakap dan bergerak, dan apabila saya keluar dari rumah itu, saya dapati sepupu saya telah pengsan. Saya tidak tahu apa sebabnya. Tanpa berlengah lagi saya terus mendukung dan lari balik ke rumah. Keluarga saya terkejut melihat keadaan saya ketika itu. Selepas sepupu saya itu sedar, saya bertanya bagaimana boleh pengsan, dia menjawab lembaga itu tiba2 muncul di depannya dan dia panik lalu terjatuh dari tingkap yang dia panjat. Mungkin lembaga itu marah dengan apa yang sepupu saya buat.

Apabila saya bercerita pada nenek saya tentang kejadian itu, baru lah saya tahu kenapa rumah itu kosong walaupun telah diwasiatkan. Sebenarnya isteri pemilik rumah tersebut telah mati akibat dirogol dan dibunuh oleh penduduk kampung. Pada masa pembunuhan, suami mangsa tiada di rumah kerana urusan kerja. Anak mangsa tersebut yang baru berusia empat tahun, turut dibunuh. Selepas kejadain itu ramai yang telah mengalami kejadian aneh di kawasan berkenaan. Sejak kejadian itu saya tidak lagi pergi ke rumah itu dan saya mula percaya yang alam hantu ni wujud...

 
 
 
Lagi Kisah Seram: Ghost Stories Club   .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan